Blog dan Website Aurashifa Asia
Praktisi Spiritual Therapy lebih dari 20 Tahun
Founder Aurashifa Sixth sense
Chief Trainer ST-ScM Resourses Malaysia
Trainer Mind Therapy
Certified trainer
Certified Hypnotherapist
Certified Pranic Healing MCKS
Certified Pranic Psychotherapy
(Wawancara dengan Tuan Asri dari Harian Metro Malaysia)
Siapa Rachmat Setiawan?
Berusia 50-an dan berasal dari Bandung, Indonesia, beliau ahli terapi dan jurulatih ScM Mind Pro dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu.
Bermula dengan usaha mencari jawapan kepada pengalaman diri sendiri yang sukar difahaminya, Pak Rachmat mula meneroka dan belajar mengenai alam minda bawah sedar secara serius sejak berusia 15 tahun.
Pada 1999 beliau mula berkongsi kepakarannya dengan memberi kursus kepada orang ramai di Bandung sebelum memperluaskannya di Malaysia, bermula 2002.
“Saya menggunakan pendekatan dan penjelasan saintifik mengenai kelebihan atau manfaat minda bawah sedar kepada orang ramai, selain mengaitkannya dengan ajaran Islam. Mungkin ini bezanya pendekatan saya berbanding orang lain,” katanya.
Apa Minda Bawah Sedar(ScM=Subconscious mind)
Menurut Pak Rachmat, minda bawah sedar adalah tempat pancaindera keenam yang ada pada setiap manusia dan sangat banyak kegunaannya, namun tidak ramai mampu meneroka serta menggunakannya.
Beliau berkata, dalam kehidupan normal, seseorang itu hanya menggunakan 12 peratus daripada kuasa mindanya manakala 88 peratus lagi yang ada pada peringkat bawah sedar atau disebut juga alam alpha, tidak digunakan.
“Ada pelbagai cara untuk seseorang itu masuk ke minda bawah sedar. Sebahagian kecil dianugerahi Tuhan untuk memilikinya secara semula jadi (gifted) manakala ramai lagi yang perlu berusaha.
“Usaha itu pula pelbagai. Ada yang melakukan amalan dan bacaan spiritual dan ada juga dengan jalan pintas menggunakan kuasa makhluk halus atau jin.
“Cara yang saya gunakan adalah bersih dan selamat iaitu kaedah hipnosis, NLP dan Pranic healing . Ini satu kaedah saintifik dan boleh dilakukan sesiapa saja yang mempelajarinya.
“Di Barat, pengkajian mengenai hipnosis dilakukan sejak 1800 lagi dan dalam Islam pun ilmu mengenai minda bawah sedar memang ada, namun ia mungkin dikenali dengan terma lain serta kaedah menerokainya juga mungkin berbeza,” katanya.
Kegunaan ScM Mind Pro
Supaya lebih mudah difahami, Pak Rachmat menyamakan alam pemikiran manusia dengan gelombang (frekuensi) radio atau walkie talkie.
Katanya, untuk memasuki minda bawah sedar atau ke alam alpha, kita perlu menukar gelombang pemikiran kita daripada gelombang sedia ada ke gelombang lain.
“Apabila sudah menghipnosis diri kita untuk ada di alam alpha, kita boleh melakukan apa saja yang kita mahu. Sebagai contoh, jika kita kuat makan hingga badan gemuk, ketika di alam alpha, katakan pada diri kita: ‘Selepas ini apabila aku sedar, aku hanya akan makan makanan yang perlu dan sihat’.
“‘Perut aku tidak akan dapat menerima makanan jika aku kenyang dan jika makanan itu banyak kolesterol atau lain-lain unsur tidak sihat’. Kesannya, selepas kita kembali ke alam biasa tubuh kita akan melaksanakan segala diarahkan ketika di alam alpha.
“Jadi, insya-Allah hasrat kita untuk menjadi kurus dan lebih sihat akan tercapai. Begitu juga jika kita ingin berhenti merokok, menjadikan diri lebih berkeyakinan, berani, berfikiran positif dan mengawal masalah atau tekanan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Pak Rachmat berkata, selepas seseorang itu mahir dengan kaedah hipnosis untuk masuk ke alam bawah sedar dengan mudah, peringkat seterusnya ialah dia mampu menghipnosis orang lain supaya turut ada di alam bawah sedar.
“Mengambil contoh gelombang radio tadi, apabila saya menghipnosis orang lain, ia bermaksud saya cuba menyamakan gelombang alam bawah sedar saya dengan gelombang orang berkenaan.
“Apabila berkongsi gelombang sama, kami dapat berhubungan. Dengan itu saya tahu keadaan dirinya (jika dia berpenyakit atau bermasalah) dan mampu mengawal atau mengatasi masalahnya dengan kekuatan minda bawah sedar saya,” katanya.
Pak Rachmat berkata, kemahiran itu berguna kepada seseorang untuk urusan kerjaya mereka, contohnya kepada pengamal perubatan, ahli motivasi, kaunselor, pensyarah, guru dan juga ketua jabatan dalam usaha memotivasikan kakitangannya.
“Sebagai contoh, anggota polis boleh menggunakan kaedah ini jika mahu menyoal siasat penjenayah dan kaunselor boleh menjalankan tugas mereka dengan lebih cemerlang.
“Malah, di Barat kaedah hipnosis ini turut digunakan sebagai satu kaedah siasatan, terutama dalam kes forensik,” katanya yang turut terbabit dalam merawat sekumpulan pelajar sekolah mengalami histeria di Tanjung Lumpur, Pahang, awal tahun ini.
Salah faham dan salah guna
Pak Rachmat berkata, di kalangan masyarakat Melayu, ramai salah faham dengan menyamakan hipnosis dengan pukau dan perkataan pukau itu pula lebih merujuk kepada elemen negatif.
“Hakikatnya, hipnosis dan pukau berbeza. Orang yang dihipnosis masih sedar, sedangkan orang yang dipukau 100 peratus tidak sedar dan tidak tahu apa yang dia lakukan.
“Anda (penulis) sendiri tadi saya hipnosis dan anda memang tidak mampu bangun daripada kerusi tapi bukankah anda masih sedar, malah mampu bergelak ketawa dengan saya?” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kemahiran memasuki minda bawah sedar ini boleh disalah guna untuk tujuan jahat, namun menegaskan itu tidak bermakna ia tidak sepatutnya dipelajari atau diajar kepada orang lain.
“Kita perlu rasional. Hakikatnya, semua benda dalam dunia ini boleh digunakan untuk tujuan baik atau jahat. Contoh mudahnya, pisau boleh sekadar untuk memotong sayur dan boleh juga menjadi senjata untuk membunuh.
“Begitu juga barangan lain seperti komputer dan kereta. Jadi, jika ia disalahgunakan, jangan salahkan kemahiran atau ilmu ini tetapi salahkan individu yang menyalahgunakannya,” katanya.
Menurut Pak Rahmat, sebagai langkah berjaga-jaga apa yang mampu dilakukannya ialah menapis atau bersifat selektif dalam mengambil peserta kursus.
“Insya-Allah dengan sedikit kelebihan yang ada, saya mampu menilai diri seseorang itu sama ada dia mahu belajar dengan saya untuk tujuan baik atau sebaliknya. Jika saya rasa dia ada tujuan jahat atau tidak sesuai, saya tidak akan menerimanya.
“Selain itu, siapa yang mengikuti kursus saya akan diajar cara mengelak dihipnosis jika dia enggan dan ini sekali gus dapat menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa perbuatan jahat,” katanya.
© Aurashifa 2002